KUALA LUMPUR 9 Jun – Datuk Seri Mohamad Hasan bakal berhadapan dengan cabaran daripada Tan Sri Annuar Musa bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.
![]() |
|
ANNUAR MUSA
|
Hal ini kerana Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO mengumumkan beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu.
Annuar memberitahu, keputusan itu diambil selepas mengambil kira situasi terkini dalam parti dan setelah berbincang dengan kepemimpinan kanan parti di peringkat nasional dan negeri.
“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab memaklumkan bahawa saya akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.
“Semoga segalanya berjalan dengan baik dan kesetiaan saya kepada parti demi memperjuangkan agama, bangsa dan negara akan terus saya pertahankan, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan pengumuman Annuar itu, jawatan itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan tersebut setakat ini.
Mohamad pada minggu lalu mengumumkan menawar diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO selepas semua jawatan tertinggi parti terbuka untuk dipertandingkan pada pemilhan kali ini.
Tarikh tutup pencalonan ialah pada 17 Jun ini.












