KUALA LUMPUR 8 Jun – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan membantu mempromosikan produk inovasi keluaran Koperasi Tunas Bersatu Pulau Pinang Berhad (KTBPPB) iaitu Kit Simulasi Perniagaan Mikro (Road Map To Millionaire Entrepreneur) atau ringkasnya, ME Stimulation Kit yang direka khas bagi menanam budaya keusahawanan dalam kalangan rakyat negara ini.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kit mudah dibawa tersebut yang pertama kali dicipta di negara ini, terdiri daripada sebuah carta tapak perniagaan yang mengandungi pelbagai bahan bersifat pendidikan dan hiburan.
“Melalui kerjasama dengan Syarikat Koperasi tersebut, kita berharap kit-kit tersebut dapat disebar luaskan penggunaannya dalam kalangan pelajar yang menjadi ahli koperasi sekolah menengah di seluruh negara.
“Malah kita dapati kit tersebut adalah kaedah yang paling kos efektif bagi tujuan motivasi ke arah melahirkan para usahawan sejak di peringkat sekolah lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili Angkasa dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Angkasa dan KTBPPB di Kelana Jaya dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi KTBPPB, Dr. Abdul Malik Abdul Shukor.
Abdul Fattah berkata, seorang usahawan baharu perlu membayar sehingga RM6,000 bagi membolehkan mereka mengikuti sesi kursus keusahawanan yang dikendalikan oleh pakar-pakar motivasi.
“Bayaran dikenakan ini sangat mahal, namun semua ilmu keusahawanan ini dapat diperoleh dengan lebih murah menggunakan kit ini malah didapati kaedah ini lebih menyeronokkan.
“Pelajar akan menyedari bahawa untuk menjadi kaya, mereka tidak lagi boleh mengharapkan dengan makan gaji tetapi dengan menceburi bidang keusahawanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











