KOTA SAMARAHAN 26 Jun – Seorang anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membuat laporan polis mendakwa diserang dan ditampar oleh sekumpulan lapan lelaki termasuk seorang anggota polis di rumahnya di Kampung Sebandi Ulu di sini, Sabtu lalu.
Menurut sumber, mangsa yang tinggal bersama suaminya di rumah berkenaan diserang oleh kumpulan lelaki terbabit kerana tidak berpuas hati berhubung kes kemalangan membabitkan kematian adik kepada salah seorang suspek yang menyerangnya.
Katanya, mangsa didakwa sengaja melanggar adik lelaki berkenaan sehingga menyebabkan kematiannya dan mengundang dendam kepada keluarga terlibat.
“Kes kemalangan itu dilaporkan berlaku pada tahun lalu tetapi abang kepada mangsa yang dilanggar oleh anggota wanita APM itu masih tidak berpuas hati kerana mendakwa insiden terbabit disengajakan.
“Kemuncak dendamnya, dia telah membawa tujuh rakan termasuk seorang anggota polis berpangkat koperal datang ke rumah wanita itu kira-kira pukul 6 pagi pada Sabtu lalu, untuk menyerang mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, dalam kejadian itu, mangsa berusia 26 tahun telah ditampar oleh beberapa lelaki yang menyerangnya dan dipaksa datang ke rumah suspek utama untuk mengaku bersalah dan memohon maaf kepada keluarganya atas kematian adiknya.
Katanya, selain bertindak ganas memecah pintu rumah mangsa, kumpulan lelaki terbabit turut menterbalik dan menolak jatuh kereta milik mangsa ke dalam parit.
Tambahnya, mangsa terpaksa pergi ke rumah suspek utama untuk menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku semasa kemalangan dan mujur ahli keluarga itu yang lain dapat menerima penjelasan di berikan.
“Namun, mangsa tetap membuat laporan polis berhubung insiden dia diserang kumpulan lelaki berkenaan demi keselamatan diri, di samping mahu menuntut ganti rugi di atas kerosakan rumah dan kereta dalam kejadian tersebut.
“Hasil laporan itu, seorang anggota polis yang terlibat dalam kejadian telah ditangkap, manakala rakan-rakannya yang lain termasuk suspek utama sedang dikesan,” katanya sambil memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan 427 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE










