SEBERANG PERAI – Seorang anggota polis cedera ringan selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh kereta dipandu pencuri kabel di Jalan Pokok Tampang, Tasek Gelugor di sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, anggota berpangkat lans koperal tersebut mengalami kecederaan pada kaki selepas dilanggar beberapa kali ketika sedang melakukan tugasan cegah jenayah bersama rakan setugas.
Sumber berkata, kejadian berlaku apabila mangsa terserempak dengan dua suspek yang dilihat sedang menarik kabel di tepi jalan dan memasukkannya ke dalam but sebuah kereta jenis Proton Perdana berwarna merah.
“Apabila anggota itu menghampiri kenderaan tersebut dari arah depan selepas menjerit perkataan ‘polis’, seorang suspek yang berada di dalam kereta telah bertindak melanggar motosikal ditunggangi anggota terbabit.
“Selepas mangsa terjatuh, pemandu kereta tersebu terus melanggar sebanyak tiga kali sehingga mengakibatkan kerosakan pada motosikal berkenaan,” katanya.
Sumber itu berkata, kesemua suspek yang melarikan diri kemudiannya dikejar oleh dua anggota lain yang turut berada di lokasi kejadian.
“Semasa melarian diri, kereta dipandu suspek turut melanggar beberapa buah kenderaan lain di simpang tiga Jalan Pasar Malam Tasek Gelugor. Kenderaan itu telah dikejar sehingga ke Jalan Padang Serai di Kampung Selamat, Tasek Gelugor sebelum kesemua suspek berjaya meloloskan diri.
“Bagaimanapun, pihak polis telah dimaklumkan oleh orang awam kira-kira pukul 9.30 malam bahawa kenderaan yang dinaiki suspek ditinggalkan di kawasan padang di Kampung Selamat,” katanya lagi.
Menurut sumber itu, anggota polis terbabit mengalami seliuh pada pergelangan kaki kanan dan hanya diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. – K! ONLINE











