GUA MUSANG – Seorang isteri anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini hari ini, cedera di bahu kanan selepas ditembak oleh anaknya sendiri menggunakan pistol suaminya.
Mangsa, Noor Aidah Mat Yusoff Ahmad, 48, cedera selepas terdengar bunyi satu das tembakan dari arah belakang dan terasa sakit di bahu kanan.
Suaminya, Sarjan Zulkifli Ayub turut berada bersamanya ketika kejadian itu berlaku segera membawanya ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi di Kuaters IPD Gua Musang.
Katanya, anak lelaki anggota berusia 25 tahun telah menjumpai pistol bapanya yang diletakkan di atas sebuah almari dekat ruangan dapur rumahnya.
“Suspek menyangka pistol yang dijumpai itu sebagai pistol mainan untuk menembak cicak dan ketika kejadian ibu dan bapanya berada di ruangan dapur.
“Secara tidak sengaja suspek menarik picu dan meletup sehingga terkena bahagian bahu kanan dari arah belakang tubuh ibunya. Selepas itu, ibunya mengadu sakit di bahagian bahu kanan sebelum dikejarkan ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Taufik berkata, mangsa dipercayai patah tulang bahu sebelah kanan akibat kesan terkena peluru dan dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, keadaan mangsa tidak membimbangkan kerana hanya berlaku kecederaan di bahagian tulang bahu.
“Kita juga telah mengambil keterangan daripada suspek berhubung kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api,” katanya. – K! ONLINE










