Anak seni uzur dan kematian - Utusan Malaysia

Anak seni uzur dan kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK 46 tahun lalu, Datuk DJ Dave atau nama Islamnya, Irwan Shah Abdullah mengambil pendekatan menyambut hari lahir bersama golongan tidak bernasib baik sama ada anak-anak yatim mahupun orang kurang upaya.

Bukan untuk takbur atau riak, tetapi pembabitan dalam kerja-kerja amal seolah-olah sebati dengan dirinya. Buktinya, beliau beberapa kali mengadakan konsert berskala besar di seluruh negara seperti Konsert Udara D.J. Dave pada tahun 1987 bersama Tentera Udara Diraja Malaysia dan konsert Pentas Mesra Bakti anjuran Polis Diraja Malaysia pada tahun 1983 yang kebanyakannya untuk tujuan amal.

Justeru, tidak hairanlah apabila beliau diberi kepercayaan menerajui Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (dahulu dikenali sebagai Yayasan Artis 1Malaysia) yang antara lain bertujuan membela nasib artis tempatan. Bagi berkongsi pengalaman itu, ikuti wawancara wartawan Jurnal bersama DJ Dave baru-baru.

JURNAL: Sebagai seorang penghibur tanah air yang telah berkecimpung selama lebih 46 tahun, Datuk dilihat begitu aktif membabitkan diri dalam pembelaan nasib golongan anak seni antaranya menerusi penubuhan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air. Boleh Datuk ceritakan bagaimana idea itu tercetus?

DAVE: Saya memang prihatin terhadap nasib golongan artis yang uzur dan berusia kerana kebanyakannya tidak lagi dapat menampung hidup mereka menerusi aktiviti seni. Semuanya bermula pada tahun 2011 selepas seorang rakan seperjuangan bergelar datuk meninggal dunia.

Saya rasa sedih selepas anak-anak Allahyarham mengadu mereka tiada wang mencukupi untuk urusan pengebumian jenazah. Keadaan itu cukup menyentuh hati saya dan membuatkan saya terfikir tentang nasib artis yang tidak terbela. Dari situ, saya tekad untuk menubuhkan yayasan ini bagi membela kebajikan golongan artis yang terlibat dalam industri hiburan tanah air tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

Inisiatif itu dimulakan dengan konsert solo berskala besar yang diadakan di Istana Budaya pada 1 hingga 3 Jun 2012. Walaupun berusia 65 tahun ketika itu, saya berlatih selama enam bulan untuk menjayakan konsert amal berkenaan. Pada hari ini, genap enam tahun Konsert Journey Through Song – Ingin Bersua dan pada bulan sama, saya dapat pengesahan bahawa yayasan berjaya didaftarkan. Menoleh kembali, saya rasa cukup bersyukur kerana dapat berbakti kepada golongan artis melalui penubuhannya.

Apakah antara bentuk sumbangan atau bantuan yang telah dilaksanakan yayasan itu selama enam tahun penubuhannya?

DAVE: Sejak pembentukannya pada 25 Jun 2012, yayasan telah mengorak langkah dengan mengambil pendekatan menyalurkan terus sumbangan kewangan kepada artis yang ditimpa kemalangan, sakit, tiada punca pendapatan dan yang telah menjangkau umur 60 tahun ke atas.

Dalam keadaan di mana berlaku kematian pula, pihak yayasan akan menyampaikan sumbangan kepada waris terdekat yang dikenal pasti. Melalui pengawalseliaan pengurusan secara profesional, proses penyaluran sumbangan dibuat dengan begitu telus, jelas dan adil dan dipantau oleh barisan Jemaah Pemegang Amanah serta diaudit firma audit KPMG.

Dalam tempoh enam tahun ini juga, pihak yayasan telah membantu lebih 1,000 artis termasuk di Sabah dan Sarawak.

Datuk begitu mengambil berat dan komited membantu membela nasib golongan artis di negara ini. Bagaimana Datuk lihat nasib artis di negara ini apabila mereka hilang punca pendapatan dan hidup melarat?

DAVE: Sememangnya saya sedih dengan apa yang menimpa diri mereka dan saya berpendapat, pembelaan sewajarnya perlu diberikan bagi memastikan hidup golongan artis yang kurang bernasib baik ini tidak terus terbiar. Kebajikan golongan ini amat dititikberatkan kerana mereka pernah berjasa kepada dunia hiburan tanah air. Satu ketika dahulu mereka pernah menjadi penghibur di televisyen dan corong radio tetapi akhirnya dilupakan. Tidak dinafikan, industri hiburan negara kecil dan tidak segah Hollywood atau Bollywood, tetapi mereka wajar diberi pengiktirafan walaupun sedikit.

Dari sudut artis sendiri, bagaimana mereka perlu bersedia dari awal untuk menghadapi hari tua?

DAVE: Saya selalu berpesan kepada artis khususnya yang baru menceburkan diri dalam bidang seni supaya sediakan payung sebelum hujan.

Mereka perlu bijak menguruskan kewangan dengan membuat simpanan, pelaburan serta bergiat dalam dunia perniagaan. Jangan berbelanja lebih daripada kemampuan serta tidak boros dalam perbelanjaan.

Bekerja sebagai anak seni, seseorang artis harus bijak mengurus masa dan menyusun jadual supaya mereka boleh mengisi waktu lapang dengan melakukan kerja lain yang boleh menjana pendapatan tambahan. Selain itu, saya juga ingin menekankan aspek penjagaan kesihatan tubuh badan kerana ia juga penting pada masa depan.

Apakah harapan Datuk terhadap isu nasib pembelaan golongan artis tanah air agar lebih diberi perhatian pada masa akan datang?

DAVE: Saya berterima kasih kepada kerajaan dan berharap perkara ini perlu terus diberi perhatian. Bantuan kepada golongan artis yang kurang bernasib baik ini amat dihargai kerana mereka juga antara yang memainkan peranan penting dalam pembentukan negara bangsa dan membantu menyatupadukan kaum di negara ini menerusi pengaruh masing-masing.

Bagi penggiat seni baharu pula, saya menyeru agar tidak melupakan artis-artis veteran dan sama-sama membantu dengan menyalurkan derma untuk kebajikan mereka.

Datuk masih cergas meskipun mencecah usia 70 tahun. Apa yang Datuk lakukan untuk menjaga kesihatan dan mengisi masa lapang?

DAVE: Saya gemar bermain badminton dan meluangkan masa antara dua ke tiga kali seminggu untuk aktiviti tersebut. Saya juga akan melakukan senaman ringan seperti membuat 50 tekan tubi setiap pagi termasuk pada bulan puasa untuk mengekalkan stamina.

Dari segi pemakanan, saya tidak minum air sejuk, kurang makan daging merah dan banyak mengambil sayur-sayuran serta buah-buahan dalam diet harian.

Mereka perlu bijak menguruskan kewangan dengan membuat simpanan, pelaburan serta bergiat dalam dunia perniagaan. Jangan berbelanja lebih daripada kemampuan 
serta tidak boros dalam perbelanjaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN