KUALA TERENGGANU – Anak bongsu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Datuk Mohd. Jidin Shafee maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Muhammad Izzat Husaini Mohd. Jidin, 17, disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abd. Razak Hasan berkata, kejadian yang berlaku di simpang tiga itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona dipandu wanita berusia 30 tahun dan mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR.
“Pemandu wanita dari arah Pasar Payang itu dikatakan ingin membelok ke kanan sebelum motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan kiri kereta tersebut.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke HSNZ dan disahkan meninggal dunia pada pukul 5.40 petang di wad kecemasan ketika sedang menerima rawatan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, jenazah pelajar tahun dua Kolej Vokasional Wakaf Tembesu itu disembahyangkan di Masjid Al-Khalifah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syeikh Ibrahim, Jalan Pusara di sini pada pukul 11 malam semalam. – K! ONLINE









