SHAH ALAM 22 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar yang baharu hari ini selepas dilantik secara rasmi oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.
Amirudin, 38, tiba di bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini kira-kira pukul 7.50 pagi dan disambut beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) antaranya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim; Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian.
Turut menyambut Amirudin ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya.
Amirudin kemudiannya mengetip kad perakam waktu tepat pada pukul 8 pagi di pejabatnya di tingkat 21 di kompleks pentadbiran kerajaan negeri itu sebelum bertemu secara tertutup dengan para pegawai kanan kerajaan Selangor.
Amirudin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebelum ini Amirudin memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi. – UTUSAN ONLINE










