SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari tiba di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini bagi memulakan tugas secara rasmi sebagai ketua kerajaan negeri hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu tiba di pekarangan bangunan yang menempatkan pejabat Menteri Besar itu kira-kira pukul 7.50 pagi.
Beliau disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya serta para pegawai kanan kerajaan negeri.
Turut hadir mengiringi Amirudin ialah beberapa exco kerajaan negeri antaranya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian.
Amirudin kemudiannya dibawa ke tingkat 21 bangunan tersebut bagi melakukan simbolik mengetip kad perakam masa kedatangannya kira-kira pukul 8.01 pagi.
Semalam, Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor dalam satu adat istiadat di Istana Alam Shah, Klang.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan, ikrar dan ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Amirudin, 38, dilantik sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyertai senarai menteri Kabinet sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.
Amirudin sebelum ini merupakan Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi. – K! ONLINE










