SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor yang baharu Amirudin Shari hari ini berikrar akan meneruskan kecemerlangan Selangor sebagai negeri pintar serantau di bawah pimpinannya.
Amirudin berkata, beliau turut berazam akan melaksanakan gerak kerja berpasukan dalam mentadbir Selangor bagi memastikan kesinambungan program dan dasar kerajaan yang dirangka sebelum ini berjalan lancar.
“Oleh itu saya menyeru anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), anggota perkhidmatan awam negeri, pihak korporat dan swasta, parti-parti politik serta rakyat Selangor bersama saya mengembleng tenaga memajukan negeri Selangor ini.
“Saya juga akan turun padang bagi memastikan semua projek yang disusun berjalan dengan lancar dan berjaya,” katanya kepada pemberita di majlis jamuan Aidilfitri bersama Menteri Besar di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari. – Bernama










