Alumni GPMS pohon jangan hentikan program kecemerlangan pendidikan - Utusan Malaysia

Alumni GPMS pohon jangan hentikan program kecemerlangan pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 23 Jun – Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan (Alumni GPMS) berharap kerajaan Pas Terengganu akan terus membantu mempertahankan kecemerlangan pendidikan negeri ini.

Justeru pertubuhan itu meminta kerajaan negeri meneruskan penyaluran kewangan kepada Jabatan Pendidikan sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu bagi menjayakan beberapa program teras.

Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, secara keseluruhannya melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta termasuk untuk program Anjung Ilmu dan Kemenjadian Murid manakala RM250,000 untuk Sambutan Hari Guru dan RM150,000 untuk progran apresiasi perarakan.

“Di samping itu sebanyak RM150,000 untuk Kokurikulum, RM2,000 untuk setiap PIBG dan Kelab Guru yang melibatkan 504 buah sekolah, RM500,000 untuk program kecemerlangan pendidikan dan RM250,000 untuk Gala Pendidikan,” ujarnya, di sini hari ini.

Katanya, di antara kekuatan Jabatan Pendidikan ke arah pengekalan kecemerlangan pendidikan negeri ialah perancangan berstrategi melalui program Memperkasakan Transformasi Pendidikan ( MTP) yang diperkenalkan oleh Pengarah Pendidikan negeri dengan suntikan kewangan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Tanpa suntikan kewangan sudah pasti segala perancangan JPNT tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” ujarnya.

Pihaknya juga mengharapkan kerajaan negeri meneruskan bantuan RM1,000 kepada setiap pelajar prauniversiti terpilih bagi membantu meringankan beban mereka untuk membeli bahan-bahan pembelajaran.

“Namun Alumni GPMS meminta agar sumbangan tersebut diberikan pada akhir semester 2 atau awal semester 3, bukan seperti amalan lepas yang membahagikannya hampir dengan peperiksaan STPM (akhir semester 3) yang sudah tergelincir dengan matlamat sebenar pemberian bantuan berkenaan.

“Alumni GPMS juga yakin kerajaan negeri akan terus memperkasakan Sekolah Imtiaz dan Sekolah Pondok Moden yang telah dirintis oleh kerajaan terdahulu dengan pelbagai penambahbaikan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN