KUALA TERENGGANU 30 Jun – Badan Perhubungan UMNO negeri mengesahkan akaun miliknya masih lagi aktif dan belum lagi dibekukan sebagaimana yang berlaku kepada UMNO Pusat dan Selangor.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, setakat ini pihaknya belum dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun bank yang menyatakan akaun itu akan dibekukan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan SPRM berhubung siasatan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan parti itu.
“Sepanjang saya menjadi pengerusi, kita tidak terlibat apa-apa selain sumber kita daripada bantuan UMNO Pusat.
“Kita sedia bagi kerjasama… tiada apa yang perlu kita takut kerana kita tidak ada apa-apa salah,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus Kali Ke-30 di Hotel TH, di sini hari ini.
Semalam pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB mengesahkan telah membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk UMNO.
Pasukan tersebut dalam satu kenyataan berkata, turut dibekukan ialah akaun parti-parti politik lain yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB serta akaun milik persatuan dan syarikat yang juga terlibat dalam siasatan kes tersebut.
Selain UMNO Pusat dan Selangor, akaun UMNO Johor juga hampir pasti akan dibekukan SPRM dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif yang merupakan calon Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus yang dicabar Naib Ketua UMNO bahagian, Apli Yusoff akur dengan apa jua keputusan dalam pemilihan kelak.
Beliau berkata, pemilihan UMNO itu jelas membuktikan bahawa parti ini masih relevan dan mengamalkan demokrasi secara keseluruhan daripada jawatan pengerusi tetap hingga ke peringkat bawahan.
Terdahulu, Ahmad Razif menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus buat penggal kedua atas rasa tanggungjawab untuk memulih sekali gus mengembalikan kekuatan UMNO di negeri ini agar tidak dianggap ‘lepas tangan’ dengan membiarkan UMNO dalam keadaan lemah. – UTUSAN ONLINE











