Akaun UMNO Negeri Sembilan tidak dibekukan - Utusan Malaysia

Akaun UMNO Negeri Sembilan tidak dibekukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 30 Jun – Akaun bank UMNO Negeri Sembilan tidak terlibat dalam pembekuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dialami UMNO Pusat, Selangor dan Johor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, akaun milik UMNO negeri masih aktif dan tidak terlibat dalam pembekuan akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Petang semalam, saya sudah minta pejabat UMNO negeri supaya bertanya kepada bank tentang keadaan akaun UMNO perhubungan dan juga bahagian Rembau, tiada apa-apa (pembekuan).

“Ini kerana sebelum ini kita tidak pernah menerima peruntukan terus daripada presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) ketika itu.

“Peruntukan yang biasa diberikan oleh UMNO Pusat untuk pentadbiran memang kita ada dapat. Cuma ada UMNO lain yang dapat peruntukan besar tetapi UMNO Negeri Sembilan tidak dapat apa-apa,” katanya.

Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di sini hari ini.

Mohamad yang juga calon Timbalan Presiden UMNO berkata, beliau yakin pembekuan akaun-akaun milik UMNO dibuat untuk siasatan dan bukan untuk menganiaya ahli dan parti itu.

“Saya tidak nampak ada unsur mahu menganiaya sesiapa, akaun dibekukan cuma untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu, pemilihan kali ini menyaksikan Mohamad dicabar oleh bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Mohamad Rais Zainuddin bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau.

Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin pula mengekalkan jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian itu apabila menang tanpa bertanding manakala Naib Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Dr. Awaludin Said turut tidak dicabar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN