KUALA LUMPUR 30 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan Pakatan Harapan tidak membekukan akaun bank parti politik
pembangkang kerana ia tidak mempunyai perkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Beliau berkata, parti politik tidak bersalah dan tindakan pembekuan akaun itu hanya mengganggu tindakan pembangkang yang konstruktif.
Jelasnya, beliau turut mengalu-alukan siasatan terhadapnya berhubung 1MDB, namun meminta tidak menjadikan parti politik sebagai mangsa.
“Saya amat sedih dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang membekukan akaun bank pelbagai parti pembangkang termasuk UMNO dan SUPP. Malah, seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan turut menggesa kerajaan membekukan akaun bank parti politik lain seperti MCA, MIC dan Gerakan.
“Berdasarkan kepada pelbagai kenyataan dan laporan media, tindakan kerajaan baharu membekukan akaun UMNO dan SUPP dibuat kerana mengesyaki parti politik ini telah menerima dana dari 1MDB sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan wang ini didakwa kononnya dibelanjakan untuk pilihan raya umum,” katanya dalam Facebook di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











