KUALA LUMPUR 29 Jun – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku akaun UMNO hanyalah langkah awal dan wajar bagi memperoleh bukti siasatan.
Pakar Undang-undang Pembuktian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Zulfakar Ramlee berkata, walaupun akaun tersebut dibekukan tanpa sebarang pendakwaan, namun tindakan itu tidak salah dari segi undang-undang.
Katanya, perkara itu adalah rasional bagi membantu siasatan dan menjaga kepentingan akaun serta dana yang terdapat di dalamnya.
“SPRM mempunyai peruntukan dan boleh membeku mana-mana aset UMNO yang disyaki mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Behad (1MDB).
“Pembekuan itu hanyalah sementara dan jika UMNO berpendapat tindakan itu adalah tidak wajar, maka mereka boleh mencabarnya dengan menyenaraikan bukti-bukti yang kukuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Semalam, akaun UMNO Pusat dan Selangor telah dibekukan oleh SPRM yang dipercayai bertujuan bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh agensi itu.
Perkara itu juga telah disahkan oleh Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, pembekuan akaun UMNO adalah berasas bagi memastikan aliran duit itu tidak dibelanjakan sekali gus memudahkan penyiasatan.
“Sekiranya terbukti bahawa bahawa duit disalurkan mempunyai alasan kukuh dan sah berkait dengan siasatan, maka wang itu akan disita akhirnya. Hal ini tiada kaitan dengan politik, malah lebih kepada proses penyiasatan yang biasa,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Undang-undang di Fakulti Undang-undang Ahmad Ibrahim Kulliyah (AIKOL) UIAM, Prof. Madya Mazlena Mohamad Hussain berpendapat, sebarang tindakan perlu dilakukan mengikut tuntutan undang-undang dan prosedur serta bahan bukti perlu diperoleh dengan cara yang sah.
“Lihat sama ada harta yang kononnya dituduh mempunyai kaitan dengan siasatan memang perlu dibekukan barulah boleh tengok sama ada akaun itu mempunyai dana yang pecah amanah atau tidak. Walaupun, tindakan itu perlu dilakukan mengikut tuntutan undang-undang dan prosedur yang betul,” katanya. – UTUSAN ONLINE









