KOTA BHARU 30 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO akan menubuhkan sebuah tabung bagi mengisi dana untuk meneruskan aktiviti parti itu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Exco Pemuda pada Isnin depan bagi membincangkan perkara berkenaan.
Menurutnya, perkara itu juga akan diteliti dalam masa seminggu bagi melihat tindakan pembekuan akaun UMNO di beberapa negeri.
“Saya tidak mahu merayu sehingga hilang maruah, namun, ambillah kesempatan apa yang akan berlaku pada pekerja parti kerana mereka tidak bersalah sehingga gaji terpaksa ditangguhkan sebab akaun dibekukan.
“Mereka (Pakatan Harapan) boleh gunakan kuasa untuk buktikan berlaku adil. Saya tidak kata tindakan itu salah di sisi undang-undang, cuma dari segi budaya baharu yang menjulang asas demokrasi kotakanlah janji berkenan.
“Namun begitu, kita sedar duit bukan segala-galanya kerana ia tidak akan menghalang api perjuangan Pemuda UMNO sebab itu banyak program telah dilakukan secara sukarela,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Negeri di sini, semalam.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Kota Bharu, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi.
Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam, mendedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun UMNO Pusat, UMNO Selangor serta Johor sehari selepas beliau mengumumkan agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian yang akan disalurkan semula.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berjanji melaksanakan konsep 5P dalam tempoh masa tiga tahun.
“Saya tidak berhajat bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang sekiranya saya gagal melaksanakan agenda 5P dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.
“Kriteria memilih Ketua Pergerakan Pemuda di peringkat negeri juga tidak semestinya Islamik sebab itu saya perlu kenal mereka dengan lebih dekat. Ini kerana, UMNO ini dinamik kerana itu adalah kekuatan yang dimiliki selama ini. Malah, kepelbagaian itu juga perlu diraikan dalam merealisasikan agenda perjuangan,” katanya. -UTUSAN ONLINE











