AirAsia tawar penerbangan balik raya istimewa - Utusan Malaysia

AirAsia tawar penerbangan balik raya istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 6 Jun – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) menawarkan penerbangan istimewa pada waktu lewat malam sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, tambang rendah tersebut ditetapkan pada harga RM99 di Semenanjung dan RM149 dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak bermula pada 12 hingga 19 Jun ini.

“Selalunya tambang akan naik apabila permintaan meningkat tetapi kami ingin memastikan rakyat Malaysia dapat pulang untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan orang yang tersayang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mendengar permintaan rakyat untuk menyediakan penerbangan tambang rendah, justeru kami berbesar hati untuk mengumumkan penerbangan tambahan dengan tambang tetap RM99 untuk laluan terpilih di Semenanjung dan RM149 untuk laluan antara Kuala Lumpur dan Kuching,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Riad, tawaran penerbangan istimewa itu hanya untuk tempahan baharu dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penumpang tiba di lapangan terbang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan dan menggunakan perkhidmatan daftar masuk melalui laman web dan aplikasi mudah alih.

Katanya, perkhidmatan tersebut boleh didapati dari tempoh 14 hari dan sehingga satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan.

“Bagi penumpang yang mempunyai bagasi daftar masuk mereka dinasihatkan untuk tiba lebih awal untuk memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mendaftar masuk bagasi sebelum ke pintu masuk.

“Kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi kedua-dua penerbangan antarabangsa dan domestik akan ditutup 60 minit sebelum waktu berlepas yang dijadualkan,” katany. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini