KUBANG PASU 30 Jun – Biar pun cuba menahan sebak, namun air mata Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom tumpah juga ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini, hari ini.
![]() |
|
Mohd. Johari
|
Beliau yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu pada pemilihan kali ini, buat seketika terpaksa mengambil masa lama untuk menyambung ucapan kerana tidak mampu menahan sebak ketika mengimbau kembali kepayahannya berjuang untuk UMNO, suatu masa dulu.
“Saya berasa puas kerana semasa menjadi Ketua Pemuda dulu, saya tak pernah mendapat belas kasihan dari Ketua Bahagian. Saya korbankan segalanya kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad pada ketika itu sekupang pun tak bagi, Tan Sri Osman Aroff pun tak pernah.
“Saya jaga Pergerakan Pemuda ini sampai terpaksa pinjam duit syarikat. Tetapi apabila saya jadi Ketua Bahagian, Pergerakan Pemuda banyak yang saya berikan kerana saya menginsafi apa yang berlaku dulu,” katanya dalam nada tersekat-sekat.
Lebih 650 perwakilan hadir ke Mesyuarat tersebut yang diadakan di Hotel EDC, Universiti Utara Malaysia di sini, hari ini.
Begitu pun katanya, di akhir-akhir ini beliau merasa sedih kerana segala pemberian terhadap Pergerakan Pemuda gagal diterjemahkan ke dalam bentuk undi.
“Hendak bola, futsal, dan penganjuran liga, semua saya bagi duit. Dulu saya tak pernah dapat semua ini tetapi akhir-akhir ini saya sedih kerana Pergerakan Pemuda selalu buat program tetapi undi orang muda di sini tak dapat kepada UMNO,” katanya.
Terdahulu beliau beberapa kali memohon maaf dari perwakilan dan orang UMNO yang hadir kerana gagal memberi perhatian penuh kepada kawasan ini selain terlalu mempercayai orang tertentu untuk menjalankan tugas bagi pihaknya.
Sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan tugas dan tanggungjawab saya amat kritikal lebih-lebih lagi apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas. Jadi saya memberi amanah dan tanggungjawab penuh kepada pihak tertentu untuk menjalankan tugas bagi pihak saya.
“Namun kini apabila saya berjumpa pihak tertentu, ramai yang merungut. Mungkin ini kelemahan saya, terlalu percaya pada orang.
“Saya tak pernah buang kerja orang, sentiasa yakin dnegan kawan-kawan tetapi mungkin itulah kelemahan saya dan saya minta maaf,” katanya. – UTUSAN ONLINE












