Kunjungan pengarah, Rahila Ali ke bumi Sepanyol sekitar tahun 2016 telah memberikan wanita itu sebuah inspirasi untuk menghasilkan sebuah drama rantaian berkaitan negara yang pernah gah dengan pemerintahan Islam suatu ketika dahulu.
Selain tertarik dengan keindahan landskap kota-kota di Sepanyol, Rahila juga terdorong membikin drama yang diberi tajuk Air Mata Di Bumi Matador (AMDBM) bagi membantu usaha persatuan Muslim di sana untuk membina sebuah masjid di kota Seville.
“Kami menjalani penggambaran awal tahun lalu di tiga lokasi utama iaitu di Seville, Granada dan Ronda. Sebanyak 40 peratus penggambaran dibuat di Sepanyol dalam tempoh 25 hari.
“Menerusi drama ini, saya cuba mengetengahkan tamadun Islam di Sepanyol, terutamanya Seville dan usaha Muslim di sana untuk membina sebuah masjid di kota itu agar azan boleh berkumandang semula,” jelas Rahila.
Ditemui pada sidang akhbar drama tersebut di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Rahila menambah, walaupun berdepan cabaran terutama cuaca sejuk kering di sana, dia tetap bersyukur kerana semua kru produksi memberikan kerjasama dan komitmen terbaik sehingga berjaya menghabiskan jadual penggambaran mengikut waktu.
Karya nukilan gabungan tiga orang penulis iaitu Amy Aimi, Wira Hijau dan Amin Shakib itu menampilkan gandingan utama Puteri Aishah, Ben Amir, Nazrief Nazri dan Eyka Farhana. Drama tersebut turut dibantu oleh Shakilla Khoriri, Arash Mohamad dan Ieda Moin.
Dugaan
Bagi pelakon Nazrief Nazri yang memegang watak Adib, drama AMDBM merupakan peluang pertama buatnya menjalani penggambaran di benua Eropah. Dia turut menyifatkan kepercayaan tersebut sebagai suatu pengalaman yang berharga.
Sewaktu berada di Sepanyol selama hampir sebulan, Nazrief berdepan dugaan tersendiri apabila terpaksa meninggalkan ibunya, Radziah Idris yang sedang mengalami masalah kemurungan selepas bercerai dengan bapanya.
Bersyukur kerana situasi sebegitu tidak kekal lama dan ibunya sudah kembali pulih, Nazrief berkata, dari sudut positif, pengalaman menjaga ibu sedang sakit membantu dirinya menghayati watak terutama bagi babak sedih.
“Saya agak risau juga memikirkan keadaan ibu yang ditinggalkan dengan nenek di kampung, namun demi mencari rezeki, saya terpaksa berjauhan dengannya pada saat genting seperti itu.
“Alhamdulillah, ibu sudah sihat sepenuhnya selepas menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Melihat hasil drama AMDBM hari ini, saya bersyukur kerana semua urusan di sana dipermudahkan,” katanya.
Drama AMDBM kini bersiaran di TV2, setiap Rabu dan Khamis pada pukul 8.35 malam bermula 30 Mei lalu, manakala ulang siar episod lepas boleh ditonton pada setiap Isnin serta Selasa pukul 2 petang menjelang minggu berikutnya.
Pengurus TV2, Shaheezam Said, Penerbit Nafalia Corporation, Farid Khaleeque, Pengarah Drama, Rahila Ali, bersama barisan pelakon bergambar selepas Sidang Akhbar Tayangan Drama Bersiri RTM “ Air Mata Di Bumi Matador” yang diadakan di Pawagam P. Ramlee, Finas, Hulu Kelang.
Nazrief Nazri, pelakon Drama Bersiri RTM “ Air Mata Di Bumi Matador
Pengarah Drama, Rahila Ali, hadir Sidang Akhbar Tayangan Drama Bersiri RTM “ Air Mata Di Bumi Matador” yang diadakan di Pawagam P. Ramlee, Finas, Hulu Kelang, di sini hari ini










