KUALA LUMPUR – Warga Sabah yang berhasrat untuk pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri boleh memanfaatkan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia yang menawarkan penerbangan tambahan dari ibu negara ke Kota Kinabalu pada 14 dan 17 Jun ini.
Kadar tambang yang ditawarkan adalah pada RM199 untuk penerbangan sehala, terpakai untuk tempahan baharu dan bergantung kepada ketersediaan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sebelum ini pihaknya telah mengumumkan tambahan penerbangan lewat malam di laluan terpilih di Semenanjung Malaysia dan dari Kuala Lumpur ke Kuching.
“Kami berbesar hati untuk berkongsi bahawa kami turut menyediakan penerbangan tambahan ke Kota Kinabalu dan kami berterima kasih kepada pihak berkuasa yang terlibat, terutamanya Malaysia Airports, atas sokongan mereka,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini. – K! ONLINE











