KUALA LUMPUR 6 Jun – Di sebalik desas-desus yang mengatakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mungkin ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden UMNO, kedua-duanya dilihat mesra dalam satu majlis berbuka puasa di kediaman tokoh politik yang turut dikenali sebagai Ku Li itu semalam.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden itu meluangkan masa untuk bersama-sama Tengku Razaleigh dalam majlis tersebut yang dimulakan dengan majlis berbuka puasa.
Turut diadakan ialah tahlil dan doa selamat dan selepas itu, Ahmad Zahid menunaikan solat Isyak serta solat sunat Tarawih bersama-sama jemputan yang lain.
Yang turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Beberapa keping gambar kedua-dua pemimpin itu turut dimuat naik di laman Facebook Ahmad Zahid dan mengundang reaksi positif para netizen.
Walaupun suara akar umbi mahukan Tengku Razaleigh yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu bertanding jawatan Presiden UMNO, namun sehingga kini beliau masih belum menyatakan pendirian.
Ia menjadikan Ahmad Zahid sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut selepas peyandangnya, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).











