PUTRAJAYA 8 Jun – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengannya semalam dan menyatakan sokongan terhadap kerajaan baharu.
Perdana Menteri berkata, pertemuan semalam diadakan di atas permintaan Ahmad Zahid yang telah menghubungi beliau.
“Sudah tentu beliau berminat untuk menyokong kerajaan.
“Beliau dialukan-alukan untuk menyokong kerajaan, beliau dialu-alukan untuk membangkang kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid memuat naik gambar beliau bertemu dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini di platform laman sosial miliknya.
Sementara itu, ditanya sama ada Ahmad Zahid datang atas kapasiti Pemangku Presiden UMNO atau Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dr Mahathir berkata, ia lebih kepada sebagai Pemangku Presiden. – UTUSAN ONLINE











