PASIR PUTEH 2 Jun – Kelab Sukarelawan Rakyat Kelantan (KSRK) Cawangan Pasir Puteh mengagihkan 1,000 bungkus ayam percik kepada keluarga miskin, pusat tahfiz dan rumah anak yatim di daerah ini hari ini.
Pengerusi KSRK, Yuganu Yunus berkata, juadah itu adalah hasil sumbangan ahli kelab yang prihatin dan mahu membantu masyarakat kurang bernasib baik sepanjang Ramadan ini.
Katanya, ayam percik dipilih kerana juadah itu menu kegemaran masyarakat Kelantan namun golongan miskin jarang berpeluang menikmatinya kerana harganya yang agak mahal.
”Kita berjaya mengumpulkan 250 ekor ayam daging bersaiz besar hasil sumbangan ahli dan setiap seekor ayam tersebut dipotong empat. Setiap bahagian itu didermakan kepada satu keluarga.
“Kerja memasak juadah dilaksanakan secara gotong royong dan selepas siap dimasak, seramai 50 orang wakil kelab mengagihkannya di kampung masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Selain juadah itu, KSRK turut mengagihkan sumbangan berbentuk keperluan harian kepada keluarga miskin seperti gula dan beras.
Yuganu berkata, dalam masa terdekat, KSRK Cawangan Rantau Panjang juga akan turut mengadakan program sama bagi membolehkan ahli kawasan berkenaan melibatkan diri dengan aktiviti amal kebajikan.- UTUSAN ONLINE










