PETALING JAYA – Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar telah meletakkan jawatannya selepas tugas beliau di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dikatakan berakhir hari ini.
The Star Online dipetik sebagai berkata, maklumat mengenai peletakan jawatan Abdul Wahid itu diperoleh daripada sumber yang rapat dengan GLC berkenaan.
Bagaimanapun, tidak dipastikan siapa yang bakal menggantikan beliau bagi mengisi jawatan tersebut.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan Abdul Wahid dijangka akan meletakkan jawatan pada awal Julai ini.
Tindakan tersebut berkemungkinan ada kaitan dengan pengguguran kira-kira 100 pegawai kanan yang sedang bertugas di beberapa GLC selepas tampuk pemerintahan kerajaan pusat diambil alih oleh Pakatan Harapan daripada Barisan Nasional.
Abdul Wahid telah dilantik menjawat jawatan tersebut bagi memenuhi tempoh pelantikannya sebagai senator selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menjaga Unit Perancangan Ekonomi bermula Jun 2013 hingga Jun 2016.
Sebelum dilantik sebagai senator, Abdul Wahid merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Malayan Banking Bhd. bermula Mei 2008 hingga Jun 2013.
Beliau juga pernah memegang jawatan CEO di Telekom Malaysia Bhd. bermula Julai 2004 sehingga syarikat itu bergabung dengan Axiata Group Bhd. pada April 2008. – K! ONLINE










