KUCHING – Seramai 79 kaki judi diberkas menerusi 54 serbuan aktiviti perjudian haram yang dijalankan di 17 buah daerah seluruh negeri ini dari 25 Mei hingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai berkata, serbuan itu juga menyaksikan polis merampas jumlah wang terbesar setakat ini dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM263,730.
Menurutnya, semua suspek berusia 17 hingga 63 tahun itu ditahan di Kuching, Kota Samarahan, Padawan, Bau, Mukah, Sri Aman, Miri, SIbu, Bintulu, Limbang, Saratok, Matu Daro, Lundu, Song, Meradong, Marudi dan Sarikei.
“Sebanyak 33 serbuan dilakukan di tempat menjual loteri haram, sebanyak 17 operasi lagi membabitkan aktiviti perjudian atas talian dan empat serbuan berkaitan judi haram.
“Selain daripada wang tunai yang dirampas, polis turut merampas 19 unit telefon bimbit, dua buah komputer, dua set holo, slip pertaruhan dan pelbagai perkakas perjudian yang digunakan semasa aktiviti berjudi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. – K! ONLINE











