429,945 peminjam PTPTN bebas senarai hitam - Utusan Malaysia

429,945 peminjam PTPTN bebas senarai hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jun – Pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara rasmi telah ‘membebaskan’ seramai 429,945 peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia.

Pengerusi PTPTN yang baharu, Wan Saiful Wan Jan berkata, proses ini dilaksanakan secara berperingkat semenjak 24 Mei dan telah selesai sepenuhnya pada 8 Jun lalu.

“Proses ini berjaya diselesaikan seminggu lebih awal berbanding jangkaan awal penyelesaiannya pada 15 Jun,” katanya dalam sidang akhbar di Menara PTPTN di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff dan Timbalan Ketua Eksekutif( Dasar dan Operasi), Mastura Mohd. Khalid.

Sidang akhbar ini merupakan yang pertama diadakan oleh Wan Saiful bagi menggantikan Datuk Shamsul Anuar Nasarah selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada awal Mei lalu. 

Wan Saiful berkata, dengan pelaksanaan tersebut, seramai 1.8 juta peminjam PTPTN yang patut membuat bayaran balik, kesemua mereka kini layak untuk ke luar negara, memperbaharui dan membuat passport baharu tanpa sebarang sekatan dari Jabatan Imigresen.

“Hal ini menepati janji 100 hari Manifesto Kerajaan PH kepada masyarakat negara ini.

“Malah secara simboliknya, kaunter PTPTN di KLIA2 akan ditutup sepenuhnya mulai 1 Julai ini kerana tiada lagi keperluan untuk pelepasan senarai hitam Jabatan Imigresen.” katanya.

Walaupun telah dikeluarkan daripada senarai hitam tersebut, namun kata Wan Saiful, para peminjam masih perlu membuat pembayaran PTPTN untuk mengelakkan nama mereka tersenarai dalam rekod buruk kredit Bank Negara sehingga menyukarkan membuat pinjaman perumahan dan sebagainya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN