KUALA LUMPUR 31 Mei – Hampir 40 peratus aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu dinaik taraf bagi menjaga ruang angkasa negara daripada sebarang ancaman.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, aset-aset tersebut meliputi beberapa jenis pesawat pejuang seperti Hawk 108 dan Hawk 208 yang kini telah mencecah usia 20 tahun dalam perkhidmatan.
Selain itu katanya, pesawat pengangkut jenis C-130 Hercules juga perlu diberi perhatian untuk menjalani proses tersebut bagi memanjangkan hayat sekali gus dapat digunakan secara optimum.
“Kita masih ada lagi pesawat yang berusia bawah 20 tahun seperti A400M dan EC725. Bagi pesawat pejuang F/A-18D pula kita telah menjalankan proses menaik taraf sensor dan komponen lain serta sistem terkini untuk jangka masa 14 tahun lagi.
“Begitu juga dengan helikopter Nuri yang menjangkau usia lebih 40 tahun. Walaupun bagus dan mampu beroperasi tetapi ia helikopter lama dan akan menjadi masalah apabila membabitkan penukaran alat ganti dan komponen,” katanya dalam sidang akhbar sempena Hari Ulang Tahun TUDM Ke-60 di Pangkalan Udara Subang sini semalam.
Sambutan ulang tahun tersebut yang bertemakan ‘Kuasa Udara Tonggak Kedaulatan Negara’ akan diadakan di semua pangkalan TUDM di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran aset serta pertunjukan udara.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, TUDM mempunyai perancangan bagi meningkatkan daya tempur serta tahap persediaan mereka bagi tempoh kira-kira 35 tahun akan datang.
“Pertama kita perlu lihat apa yang kita ada dan kedua adalah persekitaran operasi dengan ancaman yang bakal kita hadapi serta kemampuan sumber kewangan. Kita boleh membeli dan menentukan peralatan tersebut supaya diberi penyenggaraan lebih efektif
“Rata-rata aset kita menjangkau umur lebih 20 tahun dan keperluan naik taraf amat tinggi. Apabila mencecah tempoh tersebut, kita perlu buat sesuatu supaya pesawat boleh beroperasi dan mengurangkan kos selenggara,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Affendi berkata, TUDM perlu melihat ke hadapan dalam perolehan aset supaya penggunaan dalam menjaga ruang angkasa memberi kesan yang optimum.
“Kita perlu lihat apa yang kita perlukan untuk tempoh tertentu. Letakkan diri kita 10 tahun ke hadapan dalam pelbagai aspek seperti ancaman, kewangan dan penyelenggaraan.
“Perlu diingat, tidak guna beli aset mahal tapi dalam masa yang sama tidak efektif dengan kemampuannya. Malah ia memberi kesan kepada tahap juruterbang,” katanya.










