SHAH ALAM – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghadapi isu aset-aset usang apabila sebanyak 40 peratus daripada jumlah keseluruhan aset tersebut telah melepasi usia 20 tahun.
Keadaan itu didakwa boleh menjejaskan keupayaan TUDM dalam menjalankan tugasnya melindungi ruang udara negara.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, antara aset-aset terlibat ialah pesawat seperti F/A-18 Hornet, Hawk, C-130 dan Nuri.
Katanya, helikopter Nuri yang sudah menjangkau usia 40 tahun menghadapi isu penghasilan alat ganti.
“Bagi pesawat F/A-18 Hornet, kita telah melakukan proses naik taraf yang berterusan. Dari segi keupayaan, pesawat itu mempunyai sistem senjata baharu.
“Pesawat Hawk dan pesawat C-130 juga perlukan proses naik taraf dan mungkin kita akan lakukan Service Life Extension Programme (SLEP),” katanya pada sidang akhbar khas bersempena Hari Ulang Tahun ke-60 TUDM di Bangunan Pergerakan Udara, Pengkalan TUDM Subang di sini kelmarin.










