KUALA LUMPUR 20 Jun – Seramai 35,650 pelancong asing telah ditolak kemasukan ke negara ini (NTL) dalam tempoh lima bulan sejak awal tahun sehingga Mei lalu kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, daripada jumlah tersebut, Indonesia mencatat jumlah tertinggi apabila sebanyak 19,449 warganegara itu tidak dibenarkan masuk setibanya mereka di negara ini.
Menurut beliau, turut mencatatkan jumlah tertinggi iaitu China dengan sebanyak 5,289 warganegaranya disekat diikuti India (3,467), Myanmar (2,392) dan Bangladesh (2,312).
“Turut ditolak kemasukkan ke negara ini iaitu warganegara Vietnam dengan mencatatkan sebanyak 1,492 individu diikuti Pakistan (736), Thailand (531) serta Singapura (314).
“Dalam pada itu, sebanyak 189 warganegara Yemen turut disekat masuk diikuti Israel (168), Filipina dan Nepal masing-masing (148), Cambodia (144),Sri Lanka (138) dan Nigeria (96) individu dengan pelbagai kesalahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mustafar memberitahu meskipun segelintir individu yang ditolak kemasukkan mempunyai visa namun mereka tidak dibenarkan masuk negara ini memandangkan terdapat perkara meragukan ketika semakan lanjut dibuat menerusi sistem Imigresen negara ini.
“Antara yang ditolak kemasukkan itu iaitu pelancong asing yang telah ditolak kemasukkan mereka dari negara-negara lain sebelum ini namun pasport mereka tidak di cop NTL oleh negara tersebut tetapi nama mereka telah disenarai hitamkan dalam sistem kami.
“Selain itu, ada juga yang mempunyai visa namun setiba sahaja mereka di negara ini, semakan lanjut mendapati pasport mereka rosak dan meragukan,” ujarnya.










