PHNOM PENH 23 Jun – Pihak berkuasa Kemboja memberkas 33 orang wanita yang dipercayai dibayar untuk menjadi ibu tumpang oleh pasangan dari China dalam satu serbuan di sini semalam.
Lima diberkas termasuk warga negara China dalam operasi di ibu negara berkenaan yang diketuai oleh Unit Antipemerdagangan Manusia, Keo Thea.
“Kami menemui 33 ibu tumpang, setengahnya telah melahirkan anak, manakala selebihnya sedang mengandung,” katanya, sambil menambah wanita berkenaan dibayar kira-kira RM40,000 oleh pelanggan Cina.
China melonggarkan polisi satu keluarga seorang anak sejak dua tahun lalu, bagaimanapun ibu tumpang tidak dibenarkan di negara berkenaan, memaksa pasangan mencari ibu tumpang di luar negara.
Asia Tenggara merupakan destinasi popular dan berpotensi kerana kos perubatan dan terdapat jumlah besar wanita muda serta tidak menghadapi masalah perundangan yang ketat.
Bagaimanapun berikutan pembongkaran sindiket antarabangsa, kerajaan Kemboja telah mengharamkan aktiviti tersebut sejak dua tahun lalu dan setelah Thailand melaksanakan peraturan yang sama terlebih awal.
Seorang jururawat dari Australia dipenjara 18 bulan kerana mengendalikan klinik di Kemboja dan membekalkan ibu tumpang kepada sindiket sedemikian. – AFP









