28 individu ditahan dalam tiga operasi banteras penyalahgunaan dadah di SPU - Utusan Malaysia

28 individu ditahan dalam tiga operasi banteras penyalahgunaan dadah di SPU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 30 Jun –  Seramai 28 lelaki ditahan polis Seberang Perai Utara (SPU) dalam tiga operasi membanteras penyalahgunaan dadah di  beberapa kawasan di daerah ini semalam dan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam serbuan di sebuah lokasi yang disyaki menjadi sarang penagihan dadah di Kampung Bakau Tua di sini, pihaknya menahan seramai 26 lelaki berusia 19 hingga 50 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis merampas dadah disyaki heroin seberat 52 gram, syabu (3.2 gram) dan eramin 5 (0.1 gram) yang dimiliki oleh 17 lelaki yang ditahan.

Tambah beliau, majoriti yang diberkas bekerja sebagai buruh dan nelayan manakala nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM1,159.

Sementara itu, Noorzainy memberitahu, dalam satu lagi operasi pada pukul 9 malam tadi di Jalan Bakau Tua, pihaknya menahan seorang nelayan berusia 34 tahun.

Ujarnya, pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan menemukan tiga paket plastik lutsinar disyaki mengandungi heroin dan 31 keratan penyedut minuman yang diisi dadah.

“Nilai dadah yang dirampas dianggarkan sebanyak RM400 dan dipercayai turut diedar kepada penagih di kawasan sekitar,” katanya.

Tambahnya, seorang lelaki turut ditahan di Kuala Muda pada pukul 4 petang semalam bersama 152 keratan penyedut minuman disyaki berisi dadah heroin dan 13 keratan dipercayai dadah syabu.

Beliau memberitahu, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN