PUTRAJAYA – Sebanyak 26 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Sekretariat NGO Pendaulat Islam (SENDI) serta Pakatan Ekonomi dan Dakwah NGO (PACK-ECDAH) menghantar memorandum bagi mempertahankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.
Menurut Presiden Persatuan Usahawan Dan Pengurusan Islam Malaysia (Uruskop), Datuk Seri Dr. Mustapa Kamal Maulut, gabungan NGO tersebut berasa kurang selesa terhadap isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu yang menyentuh tentang kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
“Pihak kami menyeru kerajaan memperteguhkan kedudukan Islam dan memohon supaya Jakim dikekalkan serta diperkasakan. Jakim perlu distrukturkan supaya programnya tidak mudah dimanipulasi untuk kempen parti politik,” katanya ketika ditemui pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Kandungan memorandum yang dihantar turut meminta bajet untuk Jakim diperluas untuk mengembangkan agama Islam, membangunkan maahad tahfiz dan madrasah.
Selain itu, kerajaan perlu mewartakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, memberi bantuan buku teks, pembangunan pembelajaran, pembangunan prasarana, bantuan gaji dan elaun kepada guru serta kakitangan institusi tahfiz dan madrasah.
Mereka turut menuntut supaya graduan tahfiz dan madrasah diterima ke dalam Jabatan Perkhidmatan Awam, menyediakan kemudahan biasiswa dan pinjaman pelajaran bagi membolehkan lepasan tahfiz melanjutkan pelajaran dalam negara dan luar negara.
Dalam pada itu, Koordinator dan Pengarah Akademik Darul Hufaz International, Lokman Shazly Zaharin berkata, suara-suara sumbang yang begitu ghairah itu dilihat sangat berbahaya kerana telah melampaui batas sensitiviti kaum dan agama sehingga menghiris perasaan terutamanya orang Melayu dan Islam di negara ini.
“Golongan penentang institusi agama Islam ini cuba menghalalkan ideologi sekularisme, liberalisme dan aktiviti fasad dan mungkar melalui penghapusan institusi-institusi Islam ini.
“Tanpa menyedari perbuatan mereka ini adalah bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara. Fenomena ini jika dibiarkan akan mencetuskan konflik agama dan perkauman yang serius bagi sebuah negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia,” jelas beliau. – K! ONLINE










