ARAU 15 Jun – Hampir 2,000 umat Islam bersama dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Arau di sini pagi ini.
Baginda berdua tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.35 pagi seterusnya bersama para jemaah takbir raya sebelum
menunaikan solat sunat tersebut dan diakhiri dengan khutbah Aidilfitri yang disampaikan oleh Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Baginda berdua turut meluangkan masa beramah mesra dengan para jemaah selepas menunaikan solat tersebut sebelum berangkat ke Istana Arau bagi bersama rakyat jelata dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri.- UTUSAN ONLINE









