KOTA BHARU 2 Jun – Pertandingan Seni Khat 2018 sempena program Madinah Ramadan tahun ini berjaya menarik penyertaan hampir 200 peserta termasuk pasangan kembar Siti Nur Amirah Muhammad dan adiknya, Siti Nur Aminah, 24.
Biarpun kedua-dua gadis ini tidak mempunyai kemahiran dalam tulisan khat namun semangat menimba pengalaman baharu membuatkan mereka bertekad mengambil bahagian dalam kategori dewasa.
Siti Nur Aminah dari Ketereh di sini ketika ditemui berkata, mereka berdua bukan berlatar belakangkan sekolah agama dan hanya sempat berlatih sehari sebelum hari pertandingan.
“Tulisan khat sebahagian budaya Islam jadi saya rasa kita memang patut asah kemahiran ini.
“Saya dan kakak mencari maklumat dalam internet bagi mengenal bentuk-bentuk tulisan khat yang pelbagai dan melihat video cara-cara orang menulis tulisan khat.
“Rasa segan sedikit melihat peserta lain yang mahir, kami juga baru sedar rupa-rupanya tulisan khat boleh dilakukan dengan pelbagai jenis pen dan pensel,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK), Abustarim Yaacob berkata, pertandingan anjuran PMNK dan Persatuan Seni Khat Kelantan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu dewasa, sekolah menengah dan sekolah rendah.
“Ini adalah tahun kelima pertandingan dianjurkan sempena program Madinah Ramadan dan pada tahun ini juga buat julung kali kita buka penyertaan untuk sekolah rendah yang menarik 48 peserta cilik mengambil bahagian.
“Kita mahu mempromosi dan memartabat tulisan khat terutama kalangan generasi muda,” katanya.
Tempat pertama bagi kategori dewasa menawarkan hadiah wang tunai RM1,000; sekolah menengah (RM800) dan sekolah rendah (RM500). – UTUSAN ONLINE










