JOHOR BAHRU 20 Jun – Polis menahan dua pemandu bas selepas didapati positif dadah jenis Methampetamine dan mempunyai waran tangkap atas kesalahan pandu laju dalam Op Selamat 13 dan Op Khas Bas di sembilan lokasi berasingan di negeri ini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Razak Md. Said berkata, dalam operasi bermula pukul 8.30 malam itu, sebanyak 448 pemandu serta 412 buah kenderaan termasuk 160 buah bas diperiksa.
“Sebanyak 335 saman atas pelbagai kesalahan termasuk memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat telah dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.
“Kita juga turut menyita sebanyak lima buah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










