LONDON – Johann Zarco mahu mempamerkan tunggangan terbaik apabila bersaing pada Grand Prix (GP) Perancis bagi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Pelumba kelahiran Perancis tersebut mengakui saingan di Litar Le Mans merupakan perlumbaan istimewa dan penuh dengan emosi memandangkan pusingan kelima itu akan berlangsung di depan penyokong sendiri.
Tahun lalu, pelumba Monster Yamaha Tech3 itu mempamerkan aksi cemerlang di Litar Le Mans apabila memulakan perlumbaan dalam kelompok depan dan berjaya menamatkan saingan di kedudukan kedua.
“Saya gembira dapat kembali beraksi di laman sendiri pada penampilan kedua saya dalam saingan MotoGP musim ini. Selepas bernasib baik meraih podium di Jerez minggu lalu, saya yakin keputusan tersebut mampu memberikan saya motivasi tinggi untuk beraksi cemerlang pada GP Perancis hujung minggu ini.
“Saya harap keadaan cuaca baik tetapi saya yakin sekiranya hujan sekali pun, saya rasa jentera Yamaha mampu menanganinya dengan baik. Saya kini lebih selesa mengemudi jentera ini.
“Tahun lalu merupakan perlumbaan terbaik saya kerana ketika di Le Mans, saya berjaya meraih podium pertama MotoGP. Jadi, minggu ini sasaran saya adalah bergelar juara. Jadi, saya hanya perlu kekal tenang sepanjang perlumbaan.
“Saya rasa dengan kehadiran penyokong dapat memberikan saya tenaga positif. Saya akan berjuang untuk mendapatkan keputusan terbaik bersama pasukan. Kita tunggu dan lihat,” katanya. – Agensi










