[VIDEO] Restoran Pak John Steamboat raikan 30 anak yatim, asnaf - Utusan Malaysia

[VIDEO] Restoran Pak John Steamboat raikan 30 anak yatim, asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 25 Mei – Tahun ini merupakan tahun kelima pihak pengurusan Restoran Pak John Steamboat & BBQ yang terletak di e@Curve, Mutiara Damansara, dekat sini, menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan meraikan anak-anak yatim dan asnaf di bulan Ramadan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malam tadi, seramai kira-kira 30 orang anak-anak yatim dan asnaf yang ditempatkan di bawah Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ar Raudhah Malaysia, Bandar Enstek, Negeri Sembilan diraikan dalam majlis berbuka puasa di Restoran Pak John Steamboat, di e@Curve.

Melihatkan keceriaan kanak-kanak ini yang berbuka puasa dengan menikmati makanan tradisi yang berasal dari Mongolia, Pengurus Operasi Restoran Pak John Steamboat & BBQ, CS Chong melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan sumbangan yang dapat dihulurkan kepada golongan yang kurang bernasib baik ini.

“Usaha meraikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik menjadi acara tahunan kami di Pak John Steamboat kerana bulan puasa atau bulan Ramadan adalah bulan yang lazimnya umat Islam melakukan kerja-kerja amal kebajikan.

“Pihak pengurusan Restoran Pak John Steamboat beranggapan, apabila kita meraikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini, kita memikul tanggungjawab sosial dan ini perlu dilaksanakan,” kata CS Chong kepada wartawan Utusan Online ketika ditemui di sini, malam tadi.

Menurut Chong, usaha untuk mendapatkan kehadiran anak-anak yatim dan asnaf ini banyak dibantu oleh individu yang sama sejak kali pertama pengurusan restoran mengadakan majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim dan asnaf.

Malam tadi, kata Chong, beliau juga berterima kasih kepada selebriti tanah air seperti aktor Keith Foo, Janna Nick dan Dazrin Kamarudin yang turut hadir bersama keluarga bagi meraikan anak-anak yatim.

Selain daripada dijamu, kutipan derma dan sedekah turut dihulur oleh para pelanggan yang datang untuk menjamu selera di restoran tersebut malam tadi dan hasil daripada kutipan berjumlah RM759.10 diserahkan kepada wakil pertubuhan, Sitanah Firdausiah Abdullah.

Sementara itu, pertubuhan yang menempatkan anak-anak yatim dan asnaf turut mendapat sumbangan berjumlah RM1,000 yang digerakkan oleh Kuzie Ku Pengiran setelah mendapat tahu, pertubuhan ini amat memerlukan bantuan dari segi kewangan untuk perbelanjaan.

“Kami diberitahu bahawa penghuni yang ditempatkan di Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ar Raudhah ini memerlukan bantuan kewangan untuk membiayai perbelanjaan bulanan mereka.

“Jadi, saya bersama rakan-rakan, secara individu, menyumbang sedaya yang kami mampu untuk disalurkan kepada pertubuhan ini. Semoga apa yang kami sumbangkan ini, dapat meringankan sedikit bebanan pihak pengurusan pertubuhan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN