PUTRAJAYA 19 Mei – Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pertemuannya dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sebagai langkah positif ke arah mempertingkatkan hubungan kedua-dua negara.
Video oleh SOFIAN BAHAROM
Timbalan Perdana Menteri berkata, hubungan baik itu penting lebih-lebih lagi Malaysia dan Singapura merupakan negara yang berjiran di rantau ini.
“Satu penghormatan dapat bertemu dengan Hsien Loong hari ini. Ia adalah satu pertemuan yang baik.
“Pertemuan ini menekankan tentang isu-isu bilateral (dua hala) kedua-dua negara dan hubungan ini akan lebih baik, lebih-lebih lagi kedua-dua negara adalah negara berjiran di rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di sini hari ini.
Yang turut hadir, suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Hsien Loong, Ho Ching.
Pertemuan kira-kira sejam itu berlangsung di sebuah hotel dan mereka dilihat meninggalkan hotel berkenaan pada kira-kira pukul 1.30 petang.
Dr. Wan Azizah, 66, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan menyifatkan pertemuan dengan Hsien Loong itu sebagai satu perjumpaan antara rakan lama.
Pada asasnya, beliau berkata, kedua-dua negara percaya akan hubungan dua hala yang kukuh selaras dengan penekanan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ditanya berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Anwar menjelaskan, perkara itu akan dibincangkan di peringkat Perdana Menteri.
“Perdana Menteri Singapura berkata pihaknya mengalu-alukan perbincangan lanjut serta kerjasama lebih baik antara Malaysia-Singapura. Beliau merasakan ia akan berlangsung dengan baik di peringkat pegawai dan Perdana Menteri,” katanya.











