[VIDEO] Kastam rampas mercun dan bunga api - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kastam rampas mercun dan bunga api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT 30 Mei – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas mercun dan bunga api seludup bernilai RM 151,160 dengan nilai cukai RM98,254 yang merupakan rampasan terbesar setakat ini tahun ini dalam Ops Raya Puasa 2018 yang dijalankan tiga hari lalu.


Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Pengarah Kastam negeri, Datuk Mohd. Nasir Yusoff berkata, bertindak atas maklumat awam, anggota penguatkuasa mengesan sebuah lori kanvas 10 tan jenis Nissan UD yang membawa 279 kotak mercun seberat 7,558 kilogram itu di persimpangan lampu isyarat Machang – Kuala Krai kira-kira pukul 11.30 malam pada Ahad lalu.

Beliau berkata, berlaku kejadian pihaknya mengejar lori tersebut sejauh 50 kilometer sehinggalah kenderaan yang dipandu lelaki Melayu berusia 31 tahun itu tersekat dalam pasir di tebing sungai Kampung Kuala Nal di Kuala Krai satu jam kemudian.

“Semasa kejadian itu pemandu tersebut tidak mengendahkan arahan supaya berhenti dan telah menghimpit kenderaan anggota pasukan kami beberapa kali.

“Pemandu melompat keluar dan lari ke sungai setelah lorinya tersekat dalam pasir tetapi berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan anggota penguatkuasa kami.

“Ada antara mercun yang kita rampas ini adalah jenis baharu yang belum pernah kita lihat sebelum ini, kita percaya mercun dari negara Thailand ini adalah untuk pasaran di Kuala Lumpur sempena hari raya,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Mohd. Nasir berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah nilai barangan terlibat dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Mohd. Nasir berkata, Ops Raya Puasa yang telah bermula sejak 14 Mei lalu itu akan diteruskan sehingga 10 Jun ini bagi membendung penjualan mercun dan bunga api dari terus berleluasa.

“Sasaran utama kita adalah mencegah dan membanteras kegiatan penyeludupan serta penjualan mercun di bunga api di bazar Ramadan, premis, kedai, gudang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, jumlah rampasan mercun dan bunga api dari awal tahun sehingga kini melibatkan 16 kes mencatat nilai rampasan RM 927,988.70 dengan nilai cukai RM542,011.81. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN