JOHOR BAHRU 10 Mei – Keputusan rakyat termasuk di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dibuat dengan harapan mahukan kerajaan yang lebih baik.
Video oleh RAJA JAAFAR ALI
Menerima dengan hati terbuka keputusan rakyat yang memilih Pakatan Harapan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau dan seluruh ahli parti sudah berusaha sehabis baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Bagaimanapun katanya, suara demokrasi rakyat harus dihormati, sekali gus BN Johor menerima keputusan tersebut dengan berlapang dada.
“Saya percaya dari mula seperti yang saya kata, ini adalah negeri dan negara demokrasi dan sentiasa menjadi negeri, negara yang mengamalkan demokrasi. Dan untuk menjadi kerajaan serta wakil rakyat pemerintah, ia ditetapkan dan ditentukan oleh rakyat dan kita mesti sentiasa bersedia terima perkara itu. Rakyat sudah buat keputusan mungkin atas pelbagai alasan.
“Saya percaya rakyat buat keputusan dengan penuh kesedaran dan tentunya berpendapat dan mengharapkan kerajaan lebih baik yang telah mereka pilih. Jadi, kita lihat dan percaya kerajaan baharu akan buat sehabis baik untuk memenuhi kehendak rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat UMNO Johor di sini, hari ini.
Keputusan PRU-14 di negeri ini menyaksikan Pakatan Harapan memenangi 36 daripada 56 kerusi DUN, BN (19) dan Pas (1), manakala di peringkat Parlimen, BN Johor hanya memenangi lapan daripada 26 kerusi dan selebihnya menjadi milik PKR.
Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menegaskan, seluruh pasukan BN Johor akan memberikan kerjasama untuk memastikan peralihan kuasa berjalan lancar, segera dan tenang.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada pemimpin Pakatan Harapan yang berjaya membentuk kerajaan negeri.











