SEPANG 18 Mei- Kejayaan Azrulkhan Hasrullah atau lebih dikenali sebagai Adam, 26, menawan Kem Induk Everest (EBC) yang berketinggian 5,350 meter dalam masa 16 hari membuktikan orang Malaysia sememangnya hebat.
Video oleh RASHID MAHFOF
Adam yang merupakan pendaki istimewa negara berkata, walaupun hanya mengengsot menawan EBC dia berbangga dapat mengharumkan nama negara selain mencatatkan sejarah orang kurang upaya (OKU) pertama sampai di kem tersebut.
Adam berkata, sepanjang 16 hari menawan EBC, dia menghadapi pelbagai cabaran termasuk cuaca sejuk dan laluan becak yang menyukarkan pergerakan namun, semua itu bukan penghalang untuknya menamatkan misi berkenaan.
“Alhamdulillah saya berjaya menamatkan misi ini sambil ditemani oleh tiga pengiring daripada Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), sepanjang 16 hari misi itu pelbagai cabaran yang saya lalui dan semua itu akan tersemat sebagai kenangan.
“Apa yang saya banggakan ialah saya membawa nama Malaysia, ketika pendakian saya melalui kawasan perkampungan dan semua orang kampung di situ keluar untuk memberi sokongan kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Turur hadir menyambut kepulangan Adam ialah Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin. – UTUSAN ONLINE










