KUALA LUMPUR 9 Mei – Lebih 200 pengundi saluran lima dan tujuh di pusat mengundi Sekolah Agama Rakyat (Kafa Integrasi) Al-Humairah Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini hampa apabila tidak dibenarkan mengundi oleh kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
Video Oleh AZIAN AZIZ
Kesemua mereka merupakan pengundi bagi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.
Kebanyakan mereka yang telah beratur bermula antara pukul 12 tengah hari hingga pukul 2 petang masih belum sampai giliran untuk mengundi walaupun waktu pengundian telah tamat pada pukul 5 petang.
Ini ekoran jumlah pengundi yang terlalu ramai bagi saluran lima dan tujuh hingga terpaksa beratur. Mereka kemudian cuba merayu agar dibenarkan mengundi kerana telah menunggu lama tetapi tidak diterima.
Seorang pengundi, Shahli Mohd. Sanusi, 40, melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat menunaikan tanggungjawab kali ini sedangkan dia datang untuk mengundi.
“Saya datang pukul 2 petang dan giliran saya sampai selepas tiga jam menunggu untuk masuk ke bilik mengundi dan saya memang dah hampir dengan pintu tetapi tidak dibenarkan mengundi.
“Ini tidak adil bagi saya kerana saya bukannya datang lewat tetapi saya masih tidak dapat tunaikan hak sebagai pengundi,” katanya.
Bagi Razali Othman, 42, pula, dia kesal kerana tidak diberi peluang untuk mengundi sedangkan datang beratur pada pukul 2.30 petang.
“Saya tidak puas hati kerana giliran saya sudah hampir tetapi pukul 4.50 petang pintu bilik mengundi telah ditutup. Hak saya untuk mengundi telah dinafikan,” katanya.
Sementara itu, kepulangan Mohd. Saiful Haslam Asmat, 29, dari London untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat hanya sia-sia apabila dia yang beratur sejak pukul 12 tengah hari di saluran tujuh tidak dapat mengundi.
“Saya baru sampai dari London semalam untuk mengundi tetapi selepas beratur lima jam saya tidak dapat mengundi. Lima tahun kalau nak tunggu mengundi lagi,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Online di Sekolah Agama Rakyat (Kafa Integrasi) Al-Humairah Kampung Nakhoda mendapati pengundi yang tidak dapat mengundi masih tidak berganjak dari lokasi tersebut sehingga pukul 6.30 petang.
Calon yang bertanding bagi DUN Sungai Tua antaranya Datuk N. Rawisandran (Barisan Nasional) dan Mohammad Ibrahim (Pas) hadir di pusat mengundi kira-kira pukul 5 petang untuk meninjau situasi yang berlaku dan mencari jalan penyelesaian. – UTUSAN ONLINE











