KUALA LUMPUR 21 Mei – Sejumlah 3,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai sekitar Seksyen 9, Bandar Baru Bangi sempena program Sajian Amal Bubur Lambuk Ke-4 anjuran Majalah Saji, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), hari ini.
Penolong Pengarang Majalah Saji, Rosmarlinda Kamaruddin berkata, agihan bubur lambuk itu merupakan acara tahunan mereka yang telah memasuki tahun keempat penganjurannya.
Katanya, program itu merupakan usaha majalah tersebut dalam mendekati pembaca mereka selain menjadi salah satu program tanggungjawab sosial korporat UKSB.
“Kami sememangnya berhajat melakukan amal jariah sebegini sebagai salah satu cara memenuhi tuntutan ibadah di bulan mulia.
“Kali ini kami bekerjasama dengan Hotel RHR @ Uniten, Adabi, Saji Adela, Petron Gasul, Bak House Of Tailoring, Nurbeautyline, Bernas, dan Amazon Battery Sdn. Bhd.,” katanya, di sini hari ini.
Tambahnya, agihan itu bermula pukul 4.30 petang tadi dan habis dalam masa sejam. – UTUSAN ONLINE










