KUALA LUMPUR 24 Mei – Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan urusan pembelian tanah seluas 22.58 hektar bernilai RM2 bilion telah dibuat oleh BNM berlandaskan prinsip urus niaga telus dan dibeli pada harga wajar yang ditentukan oleh jurunilai harta tanah bebas.
BNM berkata, urusan pembelian tanah itu juga mematuhi semua keperluan tadbir urus dan undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan Bank.
“Pihak Bank sentiasa telus berhubung dengan pembelian tanah ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bank pusat itu mengeluarkan kenyataan susulan laporan media tempatan dan antarabangsa berhubung dakwaan pembelian tanah tersebut dibuat bagi kembayar balik hutang 1MDB berjumlah AS$500 juta (RM2 bilion).
Sehubungan dengan itu BNM berkata, pihaknya telah menyerahkan maklumat komprehensif mengenai pembelian tanah tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan kajian bebas dan menyeluruh.
Februari lalu, Gabenor BNM Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, Pembelian tanah seluas 22.58 hektar oleh BNM untuk proses penempatan semula Universiti Kewangan Islam Global (Inceif) dan Akademi Kajian Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), dibuat tanpa tekanan daripada kerajaan.
Menurut Ibrahim, proses rundingan antara BNM dan kerajaan untuk tujuan pembelian tanah berkenaan berlangsung selama beberapa bulan.- UTUSAN ONLINE








