KUALA LUMPUR 18 Mei – Petronas Dagangan Bhd (PetDag) mencatat keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM220.33 juta pada suku pertama (Q1) yang berakhir pada 31 Mac 2018 berbanding RM254.60 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu meningkat kepada RM7.07 bilion berbanding RM6.78 bilion sebelumnya disebabkan oleh kenaikan tiga peratus dalam jumlah jualan dan satu peratus kenaikan harga jualan purata.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PetDag berkata, keputusan daripada operasi terutama dipengaruhi oleh harga produk petroleum, yang mempunyai korelasi kukuh terhadap harga minyak mentah (Brent) dan pertumbuhan ekonomi Malaysia seperti yang ditunjukkan dalam keluaran dalam negara kasar dan sentimen pengguna dan indeks pembuatan.
Harga Brent memurata AS$66.42 setong pada suku pertama tahun ini, yang lebih tinggi daripada harga purata tahun penuh 2017, iaitu US$54.27 setong.
“Walaupun berlaku trend menaik, kami menjangka turun naik harga minyak akan berterusan,” katanya.
PetDag juga berkata, kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan inventori, kecekapan pembekalan dan pengedaran, serta pengoptimuman perbelanjaan mengurus untuk memastikan ia kekal berdaya tahan. – BERNAMA










