TUBUH DANA WAKAF PBT - Utusan Malaysia

TUBUH DANA WAKAF PBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM keadaan menghadapi kos sara hidup tinggi berbanding pendapatan, sudah tentu sesiapa pun berusaha untuk mengurangkan perbelanjaan tanpa mengurangkan kualiti kehidupan. Antaranya dengan mengurangkan kos dan harga barangan keperluan di pasaran, kos pendidikan, kos pengangkutan, kos perubatan dan juga kos-kos lain.

MENARA Imarah di Jalan Perak, Kuala Lumpur yang dibina dengan kos RM140 juta pada 2012 sekarang bernilai hampir RM200 juta. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Begitu juga kita ingin meningkatkan pendapatan supaya kuasa beli menjadi lebih tinggi. Lantaran itu, kita bekerja lebih kuat, bekerja lebih masa malahan bekerja lebih di pelbagai tempat yang boleh memberi pendapatan tambahan. Niat dan hasrat kita hanya satu – kesejahteraan keluarga mesti diutamakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitu juga dengan badan-badan korporat dan agensi kerajaan, mereka juga perlu memikirkan cara untuk menjana pendapatan dan mengurangkan kos pengeluaran supaya menjadi lebih cekap dan produktiviti meningkat.

Maka, agensi kerajaan perlu melihat semula cara untuk menjana pendapatan mereka. Antaranya, mereka perlu mengkaji semula peruntukan undang-undang dan peraturan bertulis yang mengawal selia operasi dan perkhidmatan yang ada. Sekiranya, ada ruang dan peluang untuk dipinda bagi menjana pendapatan, peraturan berkenaan boleh dipinda.

Sudah tentu, penilaian impak perundangan (Regulatory Impact Assessment atau RIA) boleh dijalankan untuk mengetahui kesan positif dan negatif sesuatu pindaan undang-undang. Seterusnya mitigasi dan penambahbaikan boleh dilakukan.

Sebagai contoh, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengkaji peruntukan di bawah Undang-Undang Kerajaan Tempatan (1976) (Akta 171). Pada satu seminar mengenai penjanaan pendapatan PBT yang diadakan di ibu negara tempoh hari, penulis menyatakan bahawa di bawah seksyen 39 Akta 171 diperuntukkan PBT boleh menggunakan sumber endowmen dan seumpamanya untuk menjana pendapatan mereka. Ini termasuklah dana wakaf yang telah terbukti sejak beratus-ratus tahun dahulu mampu memberi kesejahteraan kepada seluruh umat.

Amalan berwakaf begitu maju dan berkembang pesat semasa zaman Rasullullah SAW dan para sahabat. Bukan setakat tanah wakaf dimajukan dengan pembinaan masjid, surau dan kubur semata-mata, malahan tanah yang terbiar, telah diwakafkan supaya dapat dimajukan dengan pertanian dan manfaat atau hasilnya diberikan kepada yang memerlukan.

Pada abad ke-6 dan ke-7, wakaf hospital telah berkembang pesat di seluruh empayar Islam. Pada abad ke-10 dan 11 menyaksikan pelbagai mauquf wakaf bukan setakat berbentuk keagamaan, malahan juga dalam bentuk pembangunan prasarana dan perkhidmatan kepada rakyat.

Sallahuddin Al-Ayubi telah memulakan wakaf pendidikan pada abad ke 12 dan 13 Masihi. Seterusnya, pada abad ke 14 dan 15, Kerajaan Uthmaniah mula mempelopori penubuhan banyak wakaf universiti di Turki.

Kerajaan Fatimiyyah di Mesir terkenal dengan tali air yang membekalkan sumber air kepada rakyat di sana pada abad ke 13 dan 14. Ketika itu, manfaat wakaf dinikmati semua makhluk, bukan sahaja manusia malahan juga binatang dan burung-burung yang sakit yang memerlukan tempat berteduh.

Di negara ini, perkembangan wakaf begitu mengujakan sejak akhir-akhir ini. Menara Imarah di Kuala Lumpur yang dibina dengan kos RM140 juta pada 2012 sekarang bernilai hampir RM200 juta. Hartanah ini dibina daripada tapak yang diwakafkan Ahmad Dawjee Dadaboy seorang pekerja Syarikat Hindia Timur kira-kira 100 tahun dahulu.

Wakaf perumahan Seetee Aishah di Pulau Pinang yang diwakafkan pada 1902 telah dimajukan secara usahasama antara Bank Islam (M) Berhad, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Uda Holdings pada 1988.

Pihak universiti awam (UA) juga telah mula membangunkan dana wakaf pendidikan sejak beberapa tahun kebelakangan. Dengan galakan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, beberapa UA dilaporkan telah berjaya mengumpul berjuta-juta ringgit daripada amalan berwakaf kaki tangan dan pihak alumni mereka manakala beberapa universiti dan kolej swasta juga telah berjaya mengumpul jutaan ringgit bagi endowmen atau wakaf tunai mereka.

Maka, sudah sampai masa­nya, PBT memajukan dana wakaf mereka. PBT bukan setakat boleh memiliki hartanah malah mereka juga boleh memohon tanah kerajaan (melalui wakaf irsod) dan memajukan tanah-tanah mereka dan menjalankan penyenggaraan harta (melalui sumbangan pewakaf).

Terdapat banyak ta­nah yang terbiar dan belum dimajukan. Terdapat pelbagai bentuk pembangunan hartanah yang boleh dijalankan terutama dengan perkongsian pintar bersama pihak lain. Begitu juga kerjasama dengan Agensi Berkaitan Wakaf (ABW) dan Agensi Berkaitan Tanah (ABT).

Jambatan boleh dibina melalui amalan wakaf. Begitu juga dengan perpustakaan awam yang boleh melibatkan wakaf buku, wakaf harta intelek dan wakaf peralatan. Kemudahan rekreasi seperti padang permainan, padang golf, tempat berkelah, sungai, tasik dan sebagainya boleh diwakafkan.

Tidak kurang juga kemudahan tempat letak kereta, jambatan, muzium dan zoo (wakaf ternakan dan binatang), tempat berteduh, papan tanda, tempat menunggu bas, stesen bas dan sebagainya.

Wakaf kenderaan awam juga amat diperlukan. Tidak kurang pentingnya wakaf peralatan dan perkakasan bagi maksud penyenggaraan kemudahan seperti stadium, perparitan, penjagaan kebersihan, pencegahan kebakaran dan sebagainya.

Sudah tentu rukun dan syarat-syarat wakaf perlu diikuti sebaik-baiknya. Antaranya, mauquf atau objek yang hendak dijadikan wakaf perlu jelas pemilikannya. Mereka yang menerima manfaat wakaf atau mauquf alaih dipatuhi sepenuh­nya. Begi­tu juga de­ngan perkara-perkara lain yang telah disepakati para ulama.

Oleh kerana peruntukan di bawah Jadual Ke-9 Perlembagaan Persekutuan mengatakan pentadbiran amalan berwakaf terletak pada Kerajaan Negeri, lebih memudahkan PBT kerana Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) juga terletak di bawah kerajaan negeri. Justeru, PBT boleh memohon dan mendapatkan kelulusan taraf mutawalli atau nazir daripada MAIN dengan lebih mudah berbanding agensi kerajaan pusat.

Sesungguhnya, apabila agenda wakaf menjadi keutamaan, terutama sekali di PBT, pengurusan kewangan kerajaan tempatan dapat dikurangkan dengan pendapatan dijana daripada sumbangan pewakaf.

Kemudian manfaat wakaf boleh dinikmati orang ramai. Apabila PBT telah dapat menjana pendapatan dan mengurangkan kos operasi, bermakna darjah kesejahteraan umat semakin meningkat. Akhir­nya, terserlah Islam sebagai agama sejahtera dan memberi rahmat ke seluruh alam.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN