Tsunami rakyat tenggelamkan BN - Utusan Malaysia

Tsunami rakyat tenggelamkan BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARISAN Nasional (BN) yang memerintah Malaysia selama 61 tahun sejak 1957 kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semalam.

PRU-14 yang disifatkan sebagai Bapa Segala Pilihan Raya menyaksikan gelombang tsunami rakyat membadai kuasa politik BN yang selama ini dianggap tidak dapat ditewaskan.

Tunjang parti BN selama ini ialah UMNO, MCA dan MIC yang berkuasa sejak Malaysia memperoleh kemerdekaan daripada British pada tahun 1957 melalui Perikatan yang kemudian ditransformasikan menjadi BN pada tahun 1974.

Sehingga pukul 5 pagi tadi, angka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan BN yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya memperoleh 79 kerusi Parlimen manakala PKR menang 104 kerusi daripada 178 kerusi yang diumumkan.

Selebihnya 18 kerusi dimenangi oleh Pas dan empat calon Bebas, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah pada sidang akhbar di Putrajaya. Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar malam tadi mendakwa PH telah memenangi 112 daripada 222 kerusi Parlimen.

Mahathir dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×