PASIR SALAK 18 Mei – Jenazah tiga adik beradik yang maut ditetak di rumah mereka di Kampung Sungai Haji Muhammad di Selekoh, Bagan Datuk semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap, dekat sini hari ini.
Jenazah Mohammad Faqhqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Ziah Fasihah, 2, dan Muhammad Firash Zaffril, 3, dibawa ke tanah perkuburan tersebut pada kira-kira pukul 9.10 malam diiringi ahli keluarga terdekat.
Terdahulu, kesemua jenazah mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada kira-kira pukul 7.30 petang selepas dimandi, dikafankan dan disembahyangkan di hospital berkenaan.
Semalam, ketiga-tiga jenazah tersebut telah di bawa ke HRPB untuk dibedah siasat yang bermula pagi tadi dan selesai pada kira-kira pukul 5 petang.
Sementara itu, suasana hiba dan sayu menyelubungi di tanah perkuburan yang dihadiri kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli-ahli keluarga, rakan-rakan mangsa termasuk masyarakat setempat apabila bapa mangsa, Mohd. Fadzil Mohammad, 32, diberi peluang mencium ketiga-tiga jenazah anaknya sebelum dikebumikan. – UTUSAN ONLINE











