JOHOR BAHRU 12 Mei – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO mengumumkan keluar parti dan menyertai PPBM iaitu parti gabungan Pakatan Harapan.
Tindakan itu diketuai ADUN Sedili, Rasman Ithnain dan disertai ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari dan ADUN Endau, Alwiyah Talib.
Rasman berkata, mereka membuat keputusan tersebut dengan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak demi kepentingan rakyat, khususnya di kawasan yang diwakili mereka.
“Kami buat begini bertujuan menjaga kepentingan dan perpaduan orang Melayu dan rakyat. Selaku wakil rakyat, kami kena mengikut rentak dan corak yang rakyat hendak dan ini salah satu daripada langkah terbaik demi perpaduan dan yang penting untuk rakyat.
“Saya yakin pengundi akan faham dan menyokong kami kerana mereka hendakkan perkhidmatan kami serta kelangsungan menjalankan kerja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, jika terus bersama BN, pasti sukar untuk beliau terus membantu rakyat dan apa yang lebih penting ketika ini adalah kepentingan rakyat dan bukannya peribadi.
Katanya, lebih 40 ahli UMNO di kawasan tersebut akan mengikut jejak beliau menyertai PPBM.
Rasman merupakan ADUN Sedili sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), manakala Alwiyah dan Rosleli muka baharu yang ditampilkan BN di Endau dan Johor Lama.
Sementara itu Setiausaha PPBM negeri, Datuk Osman Sapian berkata, pihaknya menerima baik dan mengalu-alukan keputusan ketiga-tiga ADUN berkenaan untuk menyertai PPBM.
Menurutnya, walaupun setiap keahlian baharu parti tersebut akan ditapis, namun penyertaan ketiga-tiga wakil rakyat BN itu akan diberi keutamaan.
“Saya baru tahu pagi ini dan hasrat murni mereka untuk sertai PPBM kami amat hargai. Saya tahu ini merupakan pengorbanan besar mereka demi perpaduan bangsa Malaysia dan pembangunan Johor,” katanya.










