KUALA SELANGOR 30 Mei – Desas-desus supaya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memainkan peranan penting menerajui serta memulihkan semua UMNO selepas berhadapan dengan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan satu yang mustahil jika perkara itu benar-benar dimahukan oleh akar umbi parti.
![]() |
|
TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
|
Ahli Biro Penerangan UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, soal pemilihan kepemimpinan parti merupakan hak setiap ahli UMNO dan sebarang keputusan yang dibuat perlu dihormati oleh mana-mana pihak.
“Bagi saya, dalam soal pemilihan kepimpinan parti ini, saya tetap menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh majoriti ahli untuk menerajui parti. Sesiapa yang diberikan amanah itu maksudnya mereka adalah pilihan daripada seluruh akar umbi parti,” katanya malam semalam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pemantau Malaysia Baharu yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan bagi memantau serta memastikan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan melaksanakan janji-janji mereka kepada rakyat.
Bagaimanapun, Lokman tidak mahu mengulas lanjut mengenai desas-desus berkenaan kerana beliau tidak mempunyai pengalaman berada di bawah kepemimpinan Tengku Razaleigh yang dikenali memiliki pengetahuan serta kemahiran luas dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan.
Khabar angin kononnya akar umbi UMNO mahukan Tengku Razaleigh memimpin dan membina semula parti semakin kencang apabila bekas Menteri Kewangan itu dikatakan mampu berhadapan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada pemilihan UMNO 1987, Tengku Razaleigh hampir menewaskan Mahathir dalam merebut jawatan Presiden parti dengan 43 undi.
Ekoran kekalahan itu, Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46, namun menyertai semula UMNO pada tahun 1996.











